Gaji Kerja Suami Seribu Saja. Sekali Dapat Bayaran Pertama Dari Youtube Buat Pavithra Terkedu

” Saya hanya ingin membantu suami yang hanya bekerja di ladang, dia memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

” Jika ditolak komitmen bulanan kami hanya mempunyai kurang RM800 untuk perbelanjaan, sebab itu saya nekad membantunya.”

Demikian luahan S Pavithra, YouTuber suami isteri yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ yang mula mendapat perhatian selepas memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu.

Pavithra juga tidak menjangka niat mahu membantu suami akhirnya memberi pendapatan yang jauh lebih tinggi dari yang disangka.

Terkejut dengan jumlah bayaran diterima dari Youtube

Beliau turut mendedahkan pendapatan pertama diterima dari Youtube di mana jumlahnya agak lumayan bagi mereka yang baru bermula.

” Apa yang kami peroleh sekarang lebih dari cukup, buat pertama kali saya terima bayaran sebanyak AS$2,000 (RM8,700) bulan lalu, saya tak pernah sangka dapat sebanyak itu,” katanya.

Menurutnya, banyak cara untuk membaiki taraf kehidupan dan ia bergantung kepada keinginan dan kerja keras.

Untuk Aidilfitri ini, Pavithra yang amat fasih berbahasa Melayu berkata, dia merancang untuk memasak dan mengagihkannya kepada komuniti di kuarters ladang berkenaan.

” Perdana Menteri juga mengingatkan saya supaya memasak dan berkongsi dengan jiran. Saya akan menggunakan semua bahan yang diberikan beliau untuk memasak hidangan ringkas dan menyumbang kembali kepada jiran ketika Aidilfitri.

Pavithra berkata, dia juga akan belajar membuat kek, pastri serta pencuci mulut menggunakan ketuhar gelombang mikro yang dihadiahkan Muhyiddin.

” Saya biasanya memasak makanan tradisional, tetapi kali ini saya cabar diri untuk belajar masakan baru, saya pernah membuat kek sebelum ini tetapi tidak menjadi menyebabkan saya putus asa,” katanya.

Video Pavithra telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

Malah, ia turut menarik perhatian Perdana Menteri yang menghadiahkan tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak kepada mereka.

Ibu kepada dua anak ini berkata, dia mula terbabit sebagai Youtuber pada 28 Januari lalu, sejak itu dia memuat naik demonstrasi masakan dan sehingga kini sudah mempunyai 473,000 peminat.

Terima kasih PM

“KAMI hanya orang biasa, tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada Perdana Menteri, terima kasih,” demikian dikongsi pasangan YouTuber suami isteri yang menggunakan nama ‘Sugu Pavithra.’

S Pavithra, 28, berkata dia dan suami M Sugu, 29, menerima hadiah istimewa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin lima hari lalu, antaranya tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Menurut Pavithra yang tinggal di kuarters ladang swasta di Sungai Siput, mereka turut menerima sekeping kad ucapan daripada pemimpin nombor satu negara itu dan ia diabadikan dalam bingkai gambar.

Ucapan pada kad itu yang bertulis tangan dan dikongsikan kepada Bernama tertera: “Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keep up the good work, just stay at home” (Teruskan usaha yang baik, duduk di rumah sahaja).

“Semasa ada orang datang hantar ke rumah, saya tidak percaya kerana siapalah saya, sampailah akak (wartawan Bernama) telefon saya untuk bertanya hadiah telah diterima atau belum,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh, hari ini.

Pavithra yang berasal dari Buntong di sini berkata, dia dan suami menggunakan tripod itu untuk temu ramah secara panggilan video terutama ketika ‘live’, namun untuk memasak di dapur mereka masih menggunakan cawan.

“Saya selesa gunakan cawan sebab dah biasa, lagipun ruang dapur terhad. Tapi untuk perkara lain memang gunakan tripod dan ia sangat membantu, terima kasih Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Pavithra, penghargaan yang diterima daripada Perdana Menteri serta pengikut akaun YouTube beliau akan dijadikan sebagai perangsang untuk terus memuat naik kandungan video memasak bagi manfaat bersama.

Katanya, selepas memuat naik rakaman temu ramah bersama Bernama semasa Hari Wesak pada 7 Mei lalu, jumlah pelanggan YouTube ‘Sugu Pavithra’ terus melonjak daripada 160,000 kepada 441,000 setakat 10.30 pagi ini.

Selain itu, ibu kepada dua anak itu juga mengakui ‘agak sibuk’ melayan sekurang-kurangnya 20 panggilan telefon setiap hari sama ada untuk temu ramah atau menghantar barangan berupa bahan makanan mahupun perkakasan elektrik.

Pasangan itu yang memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu di akaun YouTube ‘Sugu Pavithra’ bejaya menambat hati rakyat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

Ajak PM datang ke rumah

Dalam pada itu Pavithra dan suami M Sugu, 29 berhasrat menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke rumah.

Menurut Pavithra beliau akan mencari jalan untuk menghantar jemputan kepada PM dan berharap impian mereka menjadi kenyataan.

” Perkara pertama yang ingin dilakukan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat adalah menjemput Perdana Menteri ke rumah untuk merasai masakan kami,” kata S Pavithra, 28.

” Saya tahu agak mustahil Perdana Menteri akan datang kerana saya hanya orang biasa, tetapi saya berhasrat memasak Nasi Briyani Kambing dan Ayam Masak Merah untuk beliau.

” Isnin lalu, saya sudah menerima hadiah daripada beliau, hanya ini saya boleh lakukan (menjemput Perdana Menteri ke rumah) dan saya harap kami dapat bertemu satu hari nanti apabila Malaysia bebas dari COVlD-19,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kuarters ladang swasta di Sungai Siput.

Sumber : limauais.pw, Harian Metro