‘Saya silap, saya masih sayangkan isteri’ – Lafaz cerai Abu terhadap Ain ‘Afini tidak sah

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar hari ini mensabitkan talak yang dilafazkan oleh bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, ke atas isterinya, Ain ‘Afini Latif, 23, menerusi WhatsApp adalah tidak sah.

Keputusan itu dibuat selepas Abu membuat pengakuan bersumpah bahawa dia tidak berniat untuk bercerai ketika menghantar mesej tersebut.

Terdahulu, Ain ‘Afini memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Klang bahawa mereka yang bernikah hujung Ogos 2018, berselisih faham dan bercerai talak satu dengan kebenaran mahkamah pada 28 Januari 2019, sebelum kembali rujuk sebulan selepas itu.

Namun pada 11.44 pagi 13 Mac lalu, Ain ‘Afini sekali lagi menerima lafaz cerai dari Abu dari mesej di WhatsApp yang meninggalkannya di rumah selama seminggu. Selain itu, Ain ‘Afini juga menerima permintaan dari Abu yang meminta dia memudahkan semua urusan perceraian.

Bagaimanapun hari ini Abu memaklumkan dia tidak berniat untuk bercerai secara total dan bertindak demikian kerana faktor keadaan yang memaksanya.

Hakim: Kamu ada taip WhatsApp tersebut?

Abu Sufyan: Iya

Hakim: Kamu ada taip mesej dan baca dalam hati?

Abu Sufyan: Iya

Hakim: Kamu sedar pada masa itu?

Abu Sufyan: Sedar

Hakim: Adakah kamu dipaksa?

Abu Sufyan: Keadaan yang memaksa

Hakim: Tetapi kamu tidak dipaksa?

Abu Sufyan: Tiada

Hakim: Kamu ada niat untuk menceraikan isteri sewaktu menghantar mesej tersebut?

Abu Sufyan: Tidak. Saya tidak berniat untuk menceraikannya

Hakim: Ada kamu lafaz yang lain?

Abu Sufyan: Tidak ada

Hakim: Kami sanggup bersumpah?

Abu Sufyan: Iya.

“Saya mengakui kesilapan diri dan memohon maaf atas perbuatan saya terhadap isteri selama ini.

“Saya masih sayangkan isteri dan ingin hidup bersamanya. Saya juga bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Hakim Nurulazhar sebelum itu menolak permohonan Abu yang meminta media dan orang awam berada di dalam mahkamah agar tidak mendengar kes perbicaraannya kerana isu sensitif dan mengaibkan.

Sementara itu, Ain ‘Afini yang dijangka bersalin pada 10 Julai depan menangis teresak-esak selepas mahkamah membuat keputusan itu, sehingga dia terpaksa ditenangkan oleh kedua ibu bapa dan keluarganya.

Tular sebelum ini : PU Abu cerai isteri hamil, kahwin janda

Ahad 21 April – BEKAS isteri seorang pendakwah bebas meluahkan perasaan hibanya di media sosial apabila diceraikan talak satu, meskipun hamil tujuh bulan.

Wanita itu yang dikenali sebagai Ain Afini mendakwa dia diceraikan selepas suaminya, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi yang juga bekas peserta program Pencetus Ummah (PU) memilih untuk bernikah dengan seorang janda.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram, Ain menulis, talak dilafazkan suaminya yang lebih dikenali sebagai PU Abu itu pada 13 Mac lalu menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Katanya, sebelum diceraikan, PU Abu pernah memintanya bersetuju untuk berpoligami, namun dia tidak bersetuju berikutan ketika itu mereka baru dua bulan bernikah.

“Pada 13.3.2019 saya telah dilepaskan dan ditinggalkan oleh bekas suami saya Pencetus Ummah Abu Sufyan kerana beliau memilih untuk bernikah dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

“PU Abu meminta saya bersetuju untuk berpoligami selepas dua bulan bernikah tetapi saya menolak kerana perkahwinan kami masih terlalu awal.

“Saya meminta dia memilih sama isteri dan anak atau wanita tersebut. Jadi dia memilih untuk meninggalkan saya dan anak yang dikandung ini,” katanya menerusi status dimuat naik di Instagram.

Menurut Ain, dia cuba merahsiakan perkara itu, namun bekas suaminya secara terbuka memuat naik foto bersama pasangan barunya itu menerusi akaun Instagram.

“Saya sudah cuba untuk menutup mulut dan tidak menghebahkan kepada orang, walaupun sudah ramai yang mengesyaki perkara ini. Namun, mereka sendiri yang membuka aib di Instagram masing-masing,” tulisnya yang turut memaparkan gambar PU Abu bersama isteri barunya dipercayai ketika berada di Makkah.

Menurut Ain, dia berharap agar tiada pihak bertanya kepadanya soal itu berikutan emosinya terganggu susulan hamil tujuh bulan dan memerlukan waktu bertenang untuk bersalin dan berpantang nanti.

Bagaimanapun, Ain memaklumkan tidak mahu memperbesarkan isu itu kerana membabitkan maruah keluarga, namun akan membawa kes itu ke mahkamah sebaik habis berpantang kelak.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian via thereporter