Ini pertandingan, tak adil bagi peserta yang buat persembahan terbaik – Farahdhiya

MINGGU kelima konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung pada malam, Ahad menyaksikan penyanyi Zamani diselamatkan daripada penyingkiran.

Keputusan penaja utama program tersebut, Datuk Seri Aliff Syukri menggunakan imuniti untuk Zamani kekal pada minggu hadapan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen bersetuju Aliff menggunakan peluang tersebut untuk membolehkan Zamani terus bertanding selepas mengalami masalah peti suara pada malam itu.

Bagaimanapun, penyanyi Farahdhiya, 34, tidak bersetuju dan menganggap ia tidak adil bagi peserta lain yang telah membuat persembahan terbaik.

“Tapi ini adalah pertandingan, ia tidak adil kepada peserta yang lain melakukan persembahan dengan baik. “Seseorang mesti dikeluarkan sebab ini pertandingan. Mereka perlu berlaku adil kepada peserta yang melakukan yang terbaik,” kata Farahdhiya.

Farahdhiya atau Farahdhiya Mohamed Amin memberi kenyataan itu selepas seorang netizen di laman Twitter memuat naik status mengharapkan tiada penyingkiran pada konsert itu.

Dalam persaingan minggu kelima GV5 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zamani gagal membuat persembahan kerana peti suaranya koyak.

Biarpun penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu tidak dapat meneruskan persembahannya namun peminat memberi sokongan dengan menyanyikan lagu tersebut sehingga tamat.

Sementara itu, ada netizen mempersoalkan semula rezeki Farahdhiya yang berjaya ke peringkat akhir GV musim kedua biarpun pada minggu separuh akhir itu dia tidak melakukan persembahan dengan baik disebabkan tidak sihat.

Menurut penyanyi lagu Bertahta Di Hati ini, keadaan kesihatannya ketika itu bukan dibuat-buat dan sudah menjadi rezeki apabila juri profesional memilihnya untuk ke peringkat seterusnya.

“Sakit betul dan alasan adalah dua benda yang berbeza ya. Saya sakit bukan dibuat-buat. Dan saya berada tangga kedua di bawah tapi rezeki juri pilih untuk ke peringkat akhir.

“Jadi, jangan persoalkan rezeki orang, jangan ada busuk hati. Untuk pengetahuan anda, di GV ada juri profesional yang menilai dari semua segi,” katanya.

Peti suara koyak punca Zamani ‘membisu’ di pentas GV5

SHAH ALAM: Penyanyi Zamani yang sepatutnya tersingkir dalam Gegar Vaganza ke 5 (GV5) pada Ahad bernasib baik kerana memperoleh imuniti daripada penaja, Datuk Seri Aliff Syukri.

Pengasas D’Herbs itu berbuat demikian kerana mahu mengekalkan Zamani yang disifatkan berpotensi walaupun dia tidak membuat persembahan pada minggu kelima GV5 atas faktor kesihatan.

“Saya mahu kekalkan dia minggu hadapan, saya menggunakan imuniti saya,” kata Aliff.

Pengumuman itu mendapat sokongan peminat yang mulanya agak terkejut apabila Zamani hanya diam kaku ketika gilirannya menyampaikan lagu ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’. Dalam pada itu juri tetap, Datuk Ramli MS berkata, dia menyedari Zamani mempunyai masalah suara sebelum malam latihan dan sudah diminta membuat pemeriksaan doktor.

“Zamani memang sudah sakit dan peti suara dia betul-betul dah koyak sebelum malam sesi latihan lagi. Saya dah cuba turunkan not lagu tersebut namun dia masih tidak boleh menyanyi.

“Malam ni dia memang tak boleh langsung tapi dia tetap mahu meneruskan persembahan. Sebab itu bila dia cuba nak menyanyi, suara dah tak keluar sebab semakin teruk,” katanya kepada mStar Online. Dalam persaingan minggu kelima GV5 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad, Zamani gagal membuat persembahan kerana tidak sihat.

Biarpun penyanyi lagu ‘Gerimis Mengundang’ itu tidak dapat meneruskan persembahannya namun peminat memberi sokongan dengan menyanyikan lagu tersebut sehingga tamat. Selain Zamani, peserta yang bakal berentap ke peringkat seterusnya ialah Noryn Aziz, Mya Ruslee, Dia Fadila, Forteen, Farawahida, Hetty Sarlene, Amelina dan gandingan Billyzulkarnain.

Selain Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim, penghakiman pada minggu ini dilakukan bersama Datuk AC Mizal selaku juri jemputan. Anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak pula disandang oleh Noryn Aziz.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga. Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.