Beg Plastik Tidak Dibenarkan Di Semua Pasaraya Bermula Tahun Depan

BERMULA tahun depan, semua pasar raya, rangkaian kedai dan restoran di seluruh negara akan dikenakan ‘caj pencemaran’ jika masih menggunakan beg plastik konvensional dalam perniagaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, caj pencemaran itu akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang diberi tempoh selama tiga tahun dari 2019 sehingga 2021 untuk menguat kuasakannya.

Katanya, kerajaan negeri juga diberi kuasa untuk menentukan sendiri berapa caj pencemaran yang mahu dikenakan selain bila mahu melaksanakannya.

“Kerajaan negeri akan menentukan nilai caj dan bila ia akan dilaksanakan. Kita serahkan kepada kerajaan negeri bila mahu mengumumkan perkara ini kerana setiap negeri mempunyai tahap kesedaran yang berbeza.

“Kutipan caj ini akan dikumpulkan dalam satu tabung dan dana boleh digunakan untuk tujuan seperti kempen kesedaran atau memberi beg beli-belah boleh guna semula kepada orang awam. (Tetapi) Ia tidak boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Selain itu, kita juga berharap dapat meningkatkan bilangan pengeluaran beg plastik boleh terurai pada kadar yang kompetitif bagi kemudahan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) ke-9 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum itu,Kementerian Wilayah akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di semua kedai dan restoran makanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mulai Januari tahun depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan pencemaran dan memelihara alam sekitar.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil bermula tahun 2020 selepas pengguna terutama peniaga diberi kesedaran mengenai bahaya penggunaan produk berasaskan plastik.

“Kita akan menggunakan peruntukan undang-undang yang sama seperti penggunaan beg plastik dan bekas makanan polistirena iaitu peniaga yang didapati me­langgar peraturan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,000.

Sumber: Harian Metro